Sunday, March 7, 2010

Malaysia-Indonesia Bentuk Kerjasama Tangani Isu Minyak Sawit

Oleh Ahmad Fuad Yahya

JAKARTA, 6 Mac (Bernama) -- Enam badan yang mewakili pengusaha dan pengeluar minyak sawit dari Malaysia dan Indonesia, sepakat membentuk kerjasama bagi menangani isu-isu berkaitan minyak sawit, terutama yang dibangkitkan oleh badan-badan bukan kerajaan (NGOs).

Usaha itu dimuktamadkan melalui satu Memorandum Kerjasama yang ditandatangani di sini malam tadi (Jumaat) antara Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), Persatuan Minyak Sawit Indonesia (GAPKI), Persatuan Pelabur Sawit Malaysia dan Indonesia (APIMI), Persatuan Pemilik Kelapa Sawit Sarawak (SOPPOA), Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda) dan Persatuan Petani Kelapa Sawit Indonesia (Apkasindo).

Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia, Tan Sri Bernard Dompok dan Menteri Pertanian Indonesia, Ir Suswono.

Ketua Pegawai Eksekutif MPOA, Datuk Mamat Salleh berkata Malaysia dan Indonesia wajar berganding bahu menangani cabaran yang dihadapi industri sawit yang dibangkitkan di peringkat rundingan meja bulat mengenai kemapanan minyak sawit (RSPO), di peringkat perundangan dan peraturan perdagangan Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat dan di peringkat panel antarabangsa mengenai perubahan iklim (IPCC).

"Isu yang sedang dihadapi dan wajar ditangani dengan cermat, meliputi isu kelestarian, isu biokepelbagaian, isu pelepasan gas rumah hijau (GHG), isu stok karbon dalam hutan dan tanah gambut yang tidak boleh disentuh walaupun untuk pembangunan rakyat," katanya.

Pada masa yang sama, kedua-dua negara itu juga perlu berwaspada terhadap isu baharu yang dijangka akan muncul seperti kesan tidak langsung daripada perubahan penggunaan tanah (ILUC) dan isu percukaian karbon di sempadan.

Mamat berkata satu lagi isu yang dijangka muncul dalam jangka masa panjang ialah keperihatinan terhadap sumber dan bekalan air dalam bentuk "tapak air", yang akan menjadikan perusahaan sawit sebagai tanaman yang kontroversial.

Beliau yakin kerjasasama itu akan membolehkan kesemua pihak terbabit, di Malaysia dan Indonesia, dapat bersama-sama mempertahan kedudukan industri minyak sawit di kedua-dua negara.

Sementara itu, pada sidang media, Dompok berkata sebagai pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terbesar dunia, dengan sumbangan kira-kira 85 peratus di pasaran antarabangsa, Malaysia dan Indonesia berhak untuk membentuk kerjasama bagi menjaga kepentingan dan melindungi industri sawitnya, walaupun telah ada badan kerjasama di peringkat lain.

Kerjasama itu, katanya akan membolehkan para pengusaha terbabit menjalankan program penyampaian maklumat sebenar mengenai perusahaan sawit di kedua-dua negara yang dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab bagi memelihara alam sekitar.

"Pada masa lepas, NGO mempersoalkan minyak sawit dari segi kesihatan, kononnya ia tidak selamat dimakan, tetapi segala tuduhan itu berjaya ditangkis oleh Malaysia dan Indonesia melalui bukti-bukti kajian.

"Kini mereka menggunakan isu alam sekitar pula. Kononnya kita memusnahkan alam sekitar. Kita adalah komuniti dunia yang bertanggungjawab, tidak ada sebab untuk kita memusnahan tempat tinggal sendiri," katanya.

Sementara itu, Suswono berkata, Malaysia dan Indonesia yang menguasai kira-kira 85 peratus pengeluaran MSM, boleh menjadi penentu harga komoditi itu di pasaran antarabangsa, yang pada masa ini dibuat di Rotterdam.

"Kerjasama ini juga akan menangani isu-isu negatif berkaitan industri kelapa sawit. Apa yang berlaku dulu termasuk penggondolan hutan, tak ada lagi. Di Indonesia belum ada perluasan kawasan tanaman kelapa sawit.

"Sekarang, 1.8 juta hektar yang telah diberi kelulusan untuk tanaman itu, masih belum ditanami," katanya.

Beliau bagaimanapun berharap Indonesia dapat meningkatkan pengeluaran minyak sawitnya, yang masih rendah, berbanding di Malaysia.

Pada masa ini, katanya Indonesia hanya mengeluarkan 20 tan MSM daripada 7.9 juta hektar kawasan tanaman sawit berbanding 16 juta tan yang dihasilkan melalui 4.7 juta hektar tanaman sawit di Malaysia.

Keadaan ini berlaku kerana kadar pengeluaran rendah pekebun kecil yang mewakili lebih 3 juta hektar kawasan tanaman.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment